1. PENDAHULUAN
Pada 24 Disember 2003, semasa YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada perjumpaan dengan ulama dan pegawai-pegawai agama sempena Majlis Tilawah al Quran Peringkat antarabangsa Kali ke 45 di Kuala Lumpur, antara lain ada menyebut tentang khatam al Quran, mewajibkan pembelajaran bahasa Arab dan menghayati amalan fardhu ain. Hasrat itu diulangi sekali lagi semasa lawatan beliau ke Kementerian Pendidikan Malaysia pada 30 Disember 2003. Beliau mencadangkan supaya perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan seberapa segera yang boleh.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil tindakan dengan mengadakan beberapa mesyuarat dan bengkel, dan akhirnya mengadakan Seminar Jawi, al Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain (j-QAF) pada 3 hingga 5 Mac 2004. Seminar ini telah bersetuju menerima beberapa model untuk dilaksanakan sebagai projek rintis pada bulan April 2004 sebelum pelaksanaan sebenar pada tahun 2005 secara berperingkat-peringkat.
2. KONSEP PROGRAM j-QAF
Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam (PI) melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain yang dilaksanakan di peringkat persekolah rendah. Pelaksanaan program inimenggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.
3. OBJEKTIF PROGRAM j-QAF
Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan semua murid Islam sekolah rendah akan dapat:
a. menguasai bacaan dan tulisan Jawi;
b. khatam al-Quran;
c. menguasai asas Bahasa Arab Komunikasi; dan
d. memantapkan dan menghayati amalan fardu ain.